Minggu 4

4 Pemilihan Bahan Internet untuk Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu

  • Memilih bahan sastera
  • Memilih bahan tatabahasa
  • Memilih bahan bidang ilmu lain
Bahan Sastera

Si Tanggang Anak Derhaka



          Si Tanggang dilahirkan dalam kalangan keluarga miskin yang tinggal di pinggir hutan, ada yang kata daripada keluarga orang asli. Si Talang dan Si Deruma merupakan bapa dan ibu kepada Si Tanggang. Mereka hidup sebagai keluarga nelayan di tepi pantai.

          Si Tanggang merupakan seorang kanak-kanak yang bercita-cita tinggi. Dia selalu berkhayal untuk menjadi kaya dan terkenal. Akan tetapi, keadaan hidupnya yang serba kekurangan dan ketiadaan peluang menjadi penghalang kepada cita-citanya.

          Apabila masuk ke alam remaja, suatu hari Si Tanggang terlihat sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai yang berhampiran dengan rumahnya. Si Tanggang pergi mencuba nasib, dia berjumpa dengan nakhoda kapal itu dan meminta untuk dijadikan anak kapalnya. Pada mulanya nakhoda kapal berasa sangsi akan kebolehan Si Tanggang namun akhirnya beliau bersetuju setelah melihat kecekapan Si Tanggang bersampan ketika menuju ke kapal Beliau tadi.Walaupun Si Talang dan Si Deruma amat keberatan untuk melepaskan Si Tanggang belayar mengikut kapal nakhoda itu, mereka terpaksa mengalah. Si Tanggang berjanji akan kembali ke kampung setelah menjadi kaya.

          Si Tanggang sangat rajin, pintar serta pandai menyesuaikan diri dengan keadaan. Dia melakukan apa sahaja kerja yang diperintahkan oleh nakhoda. Nakhoda amat suka dengannya kerana dia rajin bekerja lalu Si Tanggang pun diambil sebagai anak angkat. Apabila Nakhoda semakin uzur, maka Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda baru. Dia digelar "Nakhoda Tanggang".

          Si Tanggang memiliki kecekapan dalam berniaga. Dia menjadi kaya raya dan namanya menjadi sangat terkenal hingga sampai ke telinga sultan lalu dijemput ke istana. Tidak lama selepas itu Si Tanggang berkahwin dengan beberapa orang isteri dan isteri yang  ketiga merupakan seorang puteri raja.

          Pada suatu hari, Si Tanggang telah keluar belayar membawa ketiga-tiga isterinya. Tanpa disedari dia telah singgah di kampung halaman tempat asal-usulnya. Ibu-bapanya yang telah lama tidak ditemui mendapat tahu tentang kedatangan seorang saudagar yang memiliki ciri-ciri seperti anak mereka yang hilang lalu pergi menyiasat. Setelah mengetahui itulah Si Tanggang, mereka cuba merapatinya dengan membawa makanan hutan kegemarannya semasa kecil dahulu.Sebenarnya, Si Tanggang sedar bahawa orang yang datang itu adalah ibu bapa kandung yang telah membesarkannya dahulu tetapi beliau berasa malu hendak mengaku di hadapan orang ramai terutama para isterinya yang cantik rupawan lagi bangsawan.

          Walau bagaimanapun, isteri ketiga yang merupakan seorang puteri raja telah menyuruhnya menerima kedua orang tua yang datang itu. Katanya, apa salahnya mengaku mereka ibu bapa kandung sendiri tidak kiralah seburuk manapun rupa mereka. Rupa-rupanya, kata-kata ini telah membuat Si Tanggang berasa lebih malu dan tersinggung. Beliau mula mengeluarkan kata-kata kesat dan sumpah-seranah menyuruh orang tua itu pergi. Dalam keadaan hati yang hancur luluh dihina, si ibu lalu menadah tangan kepada Ilahi seraya berdoa.
"Kalau betullah pemuda di hadapanku adalah Si Tanggang yang pernah kukandung selama 9 bulan, maka buktikanlah dengan menukarkan segalanya menjadi batu."

          Tiba-tiba, petir sabung-menyabung,guruh berdentum dan angin bertiup kencang. Kapal Si Tanggang terumbang-ambing akibat air yang bergelora. Ketika itulah, Si Tanggang berasa kesal. Dia sedar Tuhan telah memperkenankan doa ibunya. Dia akan menerima balasannya kerana telah menderhaka.

          Akhirnya, dia berteriak kepada ibunya minta diampun. Akan tetapi, penyesalannya sudah tidak berguna lagi. Kapalnya pecah akibat dipukul ombak yang kuat.Apabila ribut reda, Si Tanggang, telah bertukar menjadi batu.

                                     *************************************

Melalui bahan sastera di atas, banyak aktiviti yang dapat kita laksanakan semasa P&P. Contoh aktiviti yang boleh dijalankan adalah :

  1. Guru memberikan petikan cerita Si Tanggang Anak Derhaka kepada setiap murid. 
  2. Guru meminta murid untuk membuat bacaan senyap terlebih dahulu selama 5 minit. 
  3. Kemudian guru memilih murid secara rawak untuk membaca petikan dari satu perenggan ke satu perenggan dengan intonasi yang betul.






Bahan Tatababahasa

:: Kata Adjektif ::



Latihan 1

Gariskan kata adjektif yang sesuai.

- Daging itu dihiris (tebal , nipis ) agar cepat empuk.

- Saya suka makan keropk ikan kerana rasanya ( sedap , hebat)

- Udara di pergunungan memang ( enak , nyaman ).

- Dia datang ( lanjut , lambat ).

- Riana berasa ( segar , penat ) setelah bermain agak lama.

- Peristiwa ( ganjil , panas ) yang berlaku di kawasan itu telah menggemparkan orang ramai.

- Para peminat bola sepak berbaris ( cepat , panjang ) untuk membeli tiket perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional.

- Fajar hanya kelihatan pada waktu ( siang , subuh ).


Bahan Bidang Ilmu Lain

[ Pendidikan Seni Visual ]

Berikut merupakan contoh aktiviti penggabungjalinan matapelajaran Bahasa Melayu bersama Pendidikan Seni Visual :

  • Guru meminta murid menghasilkan lukisan berdasarkan tajuk atau tema yang disediakan.
       Contoh Tema : Keluarga Saya

  • Murid diberikan masa untuk melukis sambil dipantau oleh guru.
Guru memantau murid
Contoh lukisan murid
Contoh lukisan murid 
 Contoh lukisan murid
Contoh lukisan murid

  • Setelah murid-murid selesai menyiapkan lukisan masing-masing,guru meminta murid duduk di tempat masing-masing dengan senyap.
  • Guru akan menerangkan aktiviti yang seterusnya dengan jelas. Aktiviti yang seterusnya memerlukan murid untuk menceritakan kepada kelas tentang lukisan yang dihasilkan.
  • Aktiviti ini dapat menguji kemahiran lisan serta meningkatkan keyakinan murid dalam bertutur di khalayak ramai.